Sabtu, 10 Ogos 2019




Kesan-kesan INHALAN


Kebanyakan inhalan bentuk pelarut  dan gas akan menyebabkan penagih berasa khayal. Kesannya seakan sama dengan mabuk akibat meminum alkohol yang banyak. Perasaan khayal ini biasanya berlaku selama 15 hingga 45 minit dan akan berterusan sehingga satu hingga dua jam. Sekiranya kuantiti atau kepekatan inhalan  itu tinggi, penagih mungkin hilang deria rasa, dan seterusnya tidak sedarkan diri.

Sekiranya wap inhalan disedut dengan kuat dan dalam, atau digunakan dengan banyak dalam tempoh yang singkat, seseorang itu akan hilang kawalan diri, berkelakuan agresif, tidak sedarkan diri, atau mati. Seiringan itu, penagih juga akan berasa loya dan muntah. Jika muntah terjadi ketika pengsan, kematian boleh berlaku akibat tersedak dan kesesakan nafas.

Seandainya inhalan yang dihidu berkepekatan tinggi, kegagalan jantung dan kematian mengejut boleh terjadi. Hiduan boleh membunuh walau pun kali pertama atau pun hiduan seterusnya. Inhalan yang pekat menyebabkan kesesakan nafas akibat kekurangan oksigen. Selain itu, penekanan sistem saraf pusat yang serius boleh melambatkan dan seterusnya menghentikan proses pernafasan.

Seperti penagih benda-benda lain, inhalan boleh mengakibatkan pergantungan fizikal dan psikologi kepada penagih jika digunakan untuk beberapa hari atau lebih. Penagihan yang berterusan dalam jangkamasa panjang boleh mengakibatkan kerosakan sel-sel otak yang kekal. Penagih akan hilang daya tumpuan, mudah marah, hilang ingatan, mengalami kekeliruan serta kemurungan. Selain itu, selera makan serta berat badan penagih turut merosot. Penagih juga akan mengalami keletihan serta kawalan pergerakan badan akan turut terjejas.

Sebahagian inhalan juga boleh merosakkan organ-organ utama badan seperti paru-paru, hati, buah pinggang, darah dan sum-sum tulang. Bahan nitrit yang disedut bertindak membesarkan salur darah, meningkatkan kadar degupan jantung dan menghasilkan keseronokan yang mampu bertahan selama beberapa minit sahaja. Kesan-kesan lain adalah rasa panas, pening dan sakit kepala. Bahan nitrit dipercayai berupaya menambahkan keseronokan dan keupayaan seksual.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan