Jumaat, 30 Ogos 2019



LAWATAN DARI SK LUBOK ANTU
KE LALUAN TERAPI MINDA PPDa SMK LUBOK ANTU
26 OGOS 2019


Pihak Sekolah SMK Lubok Antu berbesar hati kerana SK Lubok Antu sudi hadir dalam menjayakan laluan terapi minda PPDa SMK Lubok Antu. Guru Besar, Penolong Kanan dan Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Lubok Antu dan dihadiri oleh 74 orang murid tahun 5 ke program ini. Terima Kasih Semua. 














Sabtu, 24 Ogos 2019




MAJLIS PELANCARAN 
LALUAN TERAPI MINDA PPDa 
SMK LUBOK ANTU
21.8.2019

DIRASMIKAN OLEH:
ENCIK VEVIEN ANAK MUJAH
TUAN PPD LUBOK ANTU

#SMKLABEBASDARVIH


















Jumaat, 16 Ogos 2019

Khamis, 15 Ogos 2019

 LALUAN TERAPI MINDA PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH (PPDa)
PERINGKAT KEBANGSAAN

Boo Mee Lian
Pengetua
Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu

ABSTRAK

Laluan terapi minda Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) adalah merupakan satu pendekatan pencegahan iaitu berdasarkan persepsi bahawa satu-satu masalah itu mungkin timbul dan sebelum ia sampai ke tahap krisis maka usaha perlu dijalankan untuk menghalangnya. Dengan ini, lahirlah laluan terapi minda PPDa berfokuskan kepada anti DARVIH iaitu satu amalan terbaik yang berunsurkan relaksasi, ketenangan, berinformasi dan kesegaran fizikal dan minda. Dengan visi Sekolah Bebas Dadah. Laluan terapi minda PPDa ini telah memberi impak yang positif terhadap peningkatan sahsiah murid-murid, kokurikulum dan sukan, kurikulum serta pengurusan. Impak positif ini telah memperlihatkan kejayaan kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh pentadbir dengan menekankan tiga dimensi utama kepimpinan iaitu mendefinisikan visi sekolah, mengurus program instruksional dan membina iklim positif. Ini secara tidak langsung telah menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 iaitu sekolah berkualiti dan kemenjadian murid. Menjadi harapan agar laluan terapi minda ini diteruskan secara konsisten oleh semua warga Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu dalam usaha mendidik anak-anak Lubok Antu menjadi insan terdidik kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Kata Kunci: laluan terapi minda PPDa, sekolah bebas dadah, anti DARVIH, sekolah berkualiti, kemenjadian murid.


KAJIAN TINDAKAN FAKTOR-FAKTOR MURID TINGKATAN 4 MEROKOK


KAJIAN TINDAKAN UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING
OLEH : ENCIK HUANG HUAT LEONG


1.0              TAJUK
Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Amalan Merokok Dalam Kalangan murid Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu


2.0              ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi amalan merokok dalam kalangan murid tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu. Dalam menjalankan kajian ini etika kerahsiaan amat dititikberatkan iaitu responden menjawab tanpa menulis nama mereka. Kajian ini melibatkan seramai 130 orang responden iaitu 50 orang responden lelaki dan 80 responden perempuan. Kajian ini dijalankan dalam bentuk deskriptif iaitu menggunakan soal-selidik. Data kajian dianalisis dalam bentuk peratusan. Dapatan kajian mendapati 50% murid lelaki dan 1.25% murid perempuan adalah merokok. Faktor-faktor yang mempengaruhi murid merokok  bagi murid lelaki menunjukkan 34% adalah disebabkan oleh kehendak sendiri, 16% pengaruh rakan sebaya, manakala murid perempuan sebanyak 1.25% adalah atas kehendak sendiri. Dapatan kajian murid lelaki mula merokok bermula dari sekolah rendah menunjukkan 6% bermula dari darjah 4, 6% lagi bermula dari darjah 5 dan 4% bermula dari darjah 6, 8% bermula dari tingkatan 1, 16% bermula dari tingkatan 3 dan 4% bermula dari tingkatan 4, manakala murid perempuan sebanyak 1.25% bermula dari tingkatan 1. Dapatan kajian juga mendapati bahawa murid lelaki menghisap 1-2 batang rokok satu hari sebanyak 22%, 3 hingga 5 batang ialah 16%, 6 hingga 7 batang rokok ialah 4% dan lebih dari 7 batang ialah 8%, manakala murid perempuan sebanyak 1.25% merokok sebanyak 1 hingga 2 batang rokok sehari.


3.0              LATARBELAKANG KAJIAN
Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu merupakan sekolah luar bandar yang terdiri daripada 75 orang guru dan 835 orang murid. Jumlah murid lelaki ialah seramai 402 orang dan murid perempuan seramai 433 orang murid. Murid di sekolah ini terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, Iban, India dan Bidayuh. Kepelbagaian kaum ini memperlihatkan keharmonian kepelbagaian kaum di sekolah ini.  Oleh itu, kajian tindakan ini dijalankan bagi mendapatkan data untuk kegunaan pihak sekolah bagi mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi amalan merokok dalam kalangan murid tingkatan 4.




4.0              PERNYATAAN MASALAH
Kajian ini mengkaji tentang faktor-faktor yang mempengaruhi amalan merokok dalam kalangan murid tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu.  Kajian ini dijalankan kerana masalah merokok dalam kalangan murid semakin meningkat dari tahun ke tahun. Terdapat murid-murid juga merokok secara terbuka sama ada di asrama sekolah, tandas sekolah terutamanya waktu rehat dan juga ketika berada di luar kawasan sekolah seperti di luar pagar sekolah, di rumah dan juga di kedai semasa melepak dengan rakan. Oleh yang demikian, kajian tindakan lebih berfokus untuk mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan murid merokok. Dengan ini, pihak sekolah dapat menggunakan data ini untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi amalan merokok dalam kalangan murid tingkatan 4.

5.0              OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini ialah untuk  mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi amalan merokok dalam kalangan murid tingkatan 4.

6.0              METODOLOGI KAJIAN
Reka bentuk Kajian
Kajian yang dijalankan adalah berbentuk deskriptif. Data-data mengenai persoalan kajian adalah diperolehi melalui kaedah soal selidik.

Kumpulan Sasaran
Murid lelaki dan perempuan tingkatan 4 seramai 130 orang. Murid lelaki tingkatan 4 seramai 50 orang dan murid perempuan seramai  80 orang.

Instrumen Kajian
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah dalam bentuk soal selidik. Kaedah ini dipilih kerana mudah untuk mendapatkan maklumat dan data-data dari responden. Ini kerana ia menjimatkan masa dan juga kos perbelanjaan dalam mendapatkan maklumat daripada responden. Soal selidik ini mempunyai 4 soalan dimana jika murid menjawab tidak merokok maka responden tidak perlu menjawab soalan 2,3 dan 4.

Analisis Data
Data yang dikumpul akan dianalisis menggunakan peratusan. Kajian ini dianalisis dalam bentuk peratusan melibatkan aspek jantina dan bilangan murid yang merokok, faktor-faktor yang mempengaruhi murid merokok, sejak bila mula merokok dan berapa batang rokok yang dihisap dalam sehari.

Etika Kajian
Saya memegang etika kerahsiaan iaitu responden tidak menulis nama dalam borang soal selidik.



7.0              DAPATAN KAJIAN
Soalan kajian dalam kajian ini ialah adakah anda merokok? Apakah faktor mempengaruhi anda merokok? Bila anda mula merokok? Berapa batang rokok anda hisap dalam satu hari?

Dapatan kajian mendapati daripada 130 orang responden yang mengembalikan borang soal selidik adalah seperti pada jadual berikut:

Jadual 1 : Peratusan murid merokok mengikut jantina
Jantina
Ya
Tidak
Lelaki
50% (25)
50% (25)
Perempuan
1.25% (1)
98.75% (79)



Dapatan kajian mendapati bahawa murid lelaki yang merokok ialah 50% manakala murid perempuan ialah 1.25%. Data ini menunjukkan murid tingkatan 4 di sekolah menengah kebangsaan Lubok Antu merokok ialah 51.25%.

Jadual 2 : Peratusan faktor-faktor murid merokok mengikut jantina

Diri Sendiri
Rakan Sebaya
Keluarga
Lelaki
  34% (17)
16% (8)
0% (0)
Perempuan
1.25% (1)
0% (0)
0% (0)

Dapatan kajian mendapati bahawa murid lelaki merokok atas kehendak diri sendiri ialah sebanyak 34%, pengaruh rakan sebaya 16% dan tidak dipengaruhi oleh faktor keluarga. Murid perempuan 1.25% merokok adalah disebabkan atas kehendak sendiri. Daripada data ini menunjukkan bahawa 35.25% murid merokok adalah atas kehendak sendiri. Faktor keluarga langsung tidak mempengaruhi faktor murid untuk merokok.

Jadual 3 : Peratusan murid mula merokok mengikut jantina

Sekolah Rendah
Sekolah Menengah

Darjah 4
Darjah 5
Darjah 6
Tingkatan 1
Tingkatan 2
Tingkatan 3
Tingkatan 4
Lelaki
6% (3)
6%(3)
4% (2)
8% (4)
8% (4)
16% (8)
4% (2)
Perempuan
0% (0)
0% (0)
0% (0)
1.25% (1)
0% (0)
0% (0)
0% (0)

Data menunjukkan murid lelaki mula merokok seawal usia berada di darjah 4 dan 5 masing-masing 6% dan 4% untuk tahun 6. Murid lelaki mula merokok di alam sekolah menengah masing-masing 8% bermula dari tingkatan 1 dan 2, 16% bermula dari tingkatan 3 dan 4% bermula dari tingkatan 4.  Murid perempuan pula mula merokok bermula dari tingkatan 1.



Jadual 4 : Peratusan jumlah rokok dihisap oleh murid mengikut jantina

1-2 batang
3-5 batang
6-7 batang
Lebih 7 batang
Lelaki
22% (11)
16% (8)
4% (2)
8% (4)
Perempuan
1.25% (1)
0% (0)
0% (0)
0% (0)

Dapatan kajian menunjukkan murid lelaki merokok sebanyak 1 hingga 2 batang rokok seramai 22%, 3 hingga 5 batang rokok seramai 16%, 6 hingga 7 batang rokok seramai 4% dan lebih dari 7 batang seramai 8%. Murid perempuan pula merokok 1 hingga 2 batang rokok ialah 1.25%.


8.0              PERANCANGAN TINDAKAN
Berdasarkan kepada data dan dapatan kajian ini, saya sebagai guru bimbingan dan kaunseling mendapati bahawa tahap keseriusan perkara ini perlu dititikberatkan kerana 51.25% murid tingkatan 4 adalah merokok. Data ini menunjukkan tahap keseriusan ialah pada murid lelaki iaitu 50% murid lelaki adalah merokok. 

Oleh yang demikian, pihak sekolah dengan kerjasama semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani perkara ini. Pendekatan teori Pavlov adalah satu pendekatan yang baik digunakan dalam menangani permasalahan ini. Setiap tindakan yang melanggar peraturan sekolah perlu diambil tindakan tegas dan melibatkan penglibatan ibubapa serta pihak bertanggungjawab yang lain seperti pihak polis dan juga PIBG sekolah. Manakala, peneguhan positif perlu diberikan kepada murid yang tidak merokok.

Disamping itu, pendekatan amalan penyayang perlu diterapkan kerana kita berpegang kepada prinsip “memaafkan adalah lebih baik daripada melabel”. Dalam hal ini, pengenalan dan pengukuhan merit dan dimerit perlu diperkukuhkan dan dilaksanakan dengan efektif. Setiap dimerit perlulah dimaafkan dengan merit kepada murid. Dengan ini, murid akan belajar nilai murni dalam kehidupan mereka. Namun jika tiada perubahan maka pendekatan hukuman mengikut peraturan sekolah perlu dilaksanakan.

Selain itu, program pencegahan perlu dilaksanakan di sekolah bermula dari awal tahun lagi. Program-program pencegahan melibatkan pihak AADK Sri Aman dan Jabatan Kesihatan perlu dipertingkatkan. Misalnya ceramah kesedaran dan juga ujian urin.

Merasionalkan murid adalah satu pendekatan yang perlu diambil berat oleh pihak sekolah iaitu melibatkan secara total guru bimbingan dan kaunseling. Proses merasionalkan murid perlu dirujuk oleh mana-mana guru disiplin bagi menjelaskan setiap tindakan yang diambil terhadap mereka. Dengan ini, proses merasionalkan murid akan lebih berkesan.


9.0              PELAKSANAAN PERANCANGAN TINDAKAN
Perancangan Tindakan
Bil
Perkara
Pelaksanaan Tindakan
Personalia
1
Penglibatan komuniti
-   Program sekolah melibatkan komuniti.
-   Mesyuarat disiplin perlu diwakili oleh mana-mana exco PIBG dan juga Ibubapa.
-   Rondaan pihak polis ke sekolah 2 @ 3 kali dalam sehari
Pengetua
PK HEM
Guru Disiplin
Waden
GBK
2
Merit-Dimerit
-    Memberi sijil kepada murid yang tidak merokok dan menunjukkan perubahan dalam sikap.
-    Program Sifar Merit Rokok bagi murid yang ditangkap kali pertama merokok di sekolah.
Pengetua
PK Pentadbiran
PK Kokurikulum
PK HEM
Guru Disiplin
Waden
GBK
Semua guru
3
Program Pencegahan
-   Program kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah dan rokok.
-   Program Minggu Anti Dadah
-   Mewujudkan lorong atau taman PPDa melibatkan elemen D.A.R.I.H
Pengetua
PK HEM
Guru Disiplin
Waden
GBK
4
Kaunseling / Bimbingan Individu atau kelompok
-   Menjalankan sesi kaunseling atau bimbingan individu / kelompok.
Pengetua
PK HEM
Guru Disiplin
Waden
GBK

Kekangan
Antara kekangan yang bakal dihadapi dalam perancangan tindakan ini ialah mendapatkan kerjasama semua pihak sama ada dalam organisasi dan agensi-agensi yang lain kerana memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Disamping itu, kekangan kos mengendalikan aktiviti juga merupakan satu kekangan.


10.0          KESIMPULAN
Kajian tindakan ini diharap dapat membantu pihak sekolah dalam mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi amalan merokok dalam kalangan murid tingkatan 4 di sekolah menengah kebangsaan Lubok Antu. Data ini dapat menjadi kayu pengukur kepada tahap disiplin dan juga kecemerlangan akademik murid. Menjadi harapan agar pihak sekolah mengambil berat akan permasalahan ini dan memperluaskan kajian ini ke tingkatan yang lain