Pencegahan awal bermula di rumah
Ibu, bapa dan ahli keluarga yang sepatutnya
mencorak anak-anak, bukan orang atau benda lain. Ibu dan bapa perlu menjadi
watak penting sebagai model kepada anak-anak. Jadilah contoh dan teladan kepada
anak-anak, melalui kaedah beremosi, berfikir dan bertingkahlaku. Ibubapa yang
mendidik anak-anak mengenai bahaya dadah dapat mengurangkan 36% risiko
anak-anak mencuba ganja, 50% risiko menyalahguna inhalan dan 56% risiko
mengguna kokain, dan 65% risiko salahguna LSD, berbanding dengan anak-anak yang
tidak diajar oleh ibubapa mereka (NIDA,2002).
Sebagai
ibubapa, apa yang anda perlu lakukan?
Pertama, didik atau ajar anak-anak mengenai
bahaya dadah. Walaupun ia bukan perkara mudah, tetapi ia sangat berkesan dan
berharga. Berbincang dengan anak mengenai keburukan dan kesan negative dadah
berupaya memberi input awal kepada mereka, sebelum mereka beralih kepada
pandangan atau pendapat rakan sebaya. Peluang untuk mendidik anak-anak ini akan
habis jika tidak digunakan sebaiknya, dan sebaik mereka mula melihat dan
belajar dari rakan sebaya. Mereka akan mulai lebih percaya kepada rakan sebaya
yang ”memahami” dan “sejiwa” dengan mereka. Saat ini, ibubapa akan merasai
sukar untuk membetul atau mengawal anak-anak lagi. Pendidikan dadah kepada
anak-anak akan dibincangkan dalam bahagian ketiga nanti.
Kedua, ajar anak-anak untuk berwaspada dengan
orang yang tidak dikenali atau orang asing. Mereka perlu dididik untuk tahu
ruang lingkup pergaulan, percakapan dan permainan dengan sesiapa sahaja,
khususnya dengan orang asing. Anak-anak mesti dilatih untuk tidak bergaul,
bercakap atau bermain dengan orang yang tidak mereka kenali, tidak menerima
atau mengguna barang-barang yang diberi yang diberi oleh orang asing, dan
bersuara( contoh: berteriak atau menangis) apabila ruang mereka dicerobohi atau
diganggu. Cara ini boleh membantu anak-anak menguasai dan mengamalkan kemahiran
asertif atau tegas diri yang amat diperlukan untuk meningkatkan tahap ketahanan
social mereka dalam menghadapi pengaruh negatif.
Ketiga, apabila anda mendapati anak-anak anda
“bermasalah” seperti bertingkahlaku yang menyebabkan atau boleh menimbulkan
kemarahan anda, cuba focus kepada tingkahlaku mereka, bukannya diri mereka.
Cuba bawa bincang secara terbuka, dan jangan cepat memarahi atau menghukum
secara emosi dan fizikal. Seeloknya, beritahu anda marah atau tidak suka dengan
tingkahlaku mereka, bukannya diri mereka. Hukuman secara emosi atau fizikal
memberi gambaran ke[ada anak-anak bahwa anda membenci diri mereka, bukannya perbuatan
mereka. Akibatnya, anak-anak akan berdendam dan menjarakkan diri mereka
daripada anda.
Keempat, cuba amalkan disiplin dan peraturan
yang praktikal dan konsisten terhadap tingkahlaku anak-anak di rumah. Bincang
bersama anak-anak apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, dan jadikan ia
sebagai satu peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua ahli dalam rumah anda.
Pematuhan kepada disiplin dan peraturan ini berupaya mendidik anak-anak untuk
lebih berdisiplin, saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan
mengambil tahu perkembangan yang berlaku di dalam rumah. Amalan peraturan yang
tidak konsisten, kadang-kadang terlalu ketat, terlalu bebas, atau berubah-ubah
akan menyebabkan anak-anak membesar dalam keadaan tidak selesa dan tidak
selamat. Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak cenderung untuk bertindak
memperoleh keselesaan dan keselamatan di luar rumah bersama rakan sebaya, dan
terdedah dengan risiko untuk menyalahgunakan dadah (Halebsky, 1987).
Kelima, anda sebagai ibu atau bapa jangan
sekali-kali kedekut atau segan memberi pujian kepada anak-anak. Fitrah
anak-anak adalah sentiasa mahukan perhatian dan ambil berat daripada ibu bapa
mereka. Didiklah anak-anak dengan perasaan percaya dan yakin kepada diri
sendiri. Perasaan percaya dan yakin diri ini boleh dibina dari awal dengan ibu
atau bapa memberi pujian dan penghargaan kepada setiap perlakuan baik
anak-anak. Hasilnya, anak-anak akan merasai diri dihargai dan disayangi dalam
keluarga. Jika sebaliknya berlaku, contoh anak-anak melakukan kesilapan, buat
teguran terus dan jangan tangguh atau biarkan berlalu begitu sahaja. Cuba elak
seboleh mungkin untuk menegur mereka tanpa memalukan atau menjatuhkan harga
diri mereka khusunya di hadapan adik beradik mahupun rakan sebaya.